Tahniah buat kerajaan Kelantan kerana berani memperkenalkan matawang emas dan perak pada 2 Ramadhan 1431H walaupun Datuk Dr Awang Adek Hussein menyatakan tindakan tersebut bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.
Emas dan perak adalah dua komoditi yang paling sesuai untuk dijadikan sandaran matawang. Sejarah manusia menunjukkan sudah pelbagai jenis komoditi dijadikan matawang seperti batu, cengkerang malah rokok juga adalah matawang paling utama di penjara.
Sekiranya emas dan perak tidak dijadikan asas matawang, maka emas dan perak hanya akan sama dengan komoditi lainnya yang terdedah dengan aktiviti spekulasi dan status pedagang emas ini sebenarnya tidak ada beza dengan pedagang karipap mahupun kapal selam. Selagi mana penjual emas, perak dan karipap berniaga ikut syarat dan rukun jual beli, semua boleh dapat pahala dan aktiviti tersebut syari’e belaka. Dalam Islam, jual beli dan pertukaran berkaitan emas dan perak ini perlu mengikut rukun dan syarat Bai Sarf.
Apabila ada komuniti atau dalam konteks ini kerajaan negeri dan jajahan takluknya menerima emas dan perak sebagai matawang selain Ringgit Malaysia dan US Dollar, maka ia adalah langkah yang sangat baik.
Semoga setelah kerajaan Kelantan membuka ruang untuk membentuk satu komuniti yang menerima emas dan perak sebagai matawang maka mari kita lihat perkembangan seterusnya.
Adakah tindakan ini akan mendapat tentangan hebat dari kerajaan lain khususnya kerajaan Persekutuan ?
Bagaimanakah respon infrastruktur kewangan yang penting iaitu sistem perbankan dalam hal ini?
Adakah kerajaan Selangor, Kedah dan Pulau Pinang akan mengikut jejak langkah kerajaan Kelantan?
Bagaimana respons kita semua dalam hal ini?
Sejarah pembunuhan presiden Amerika Syarikat iaitu Abraham Lincoln , James A. Garfield, William McKinley dan J.F Kennedy juga mempunyai perkaitan dalam mengembalikan gold / silver standard dalam sistem matawang.